Wahai Dunia Nan Berjiwa..
Kebahagiaan itu bagaikan benih bunga yang tertanam dan belum mekar tetapi kemekaran itu akan berlaku jua. Maka, hiburkanlah hatimu dengan berkata "semoga".
Titipan kata di atas merujuk kepada perasaan bahagia yang kebanyakan individu tidak dapat mendefinisikannya dengan sempurna berikutan jauh di sudut hati..punya jiwa yang masih berantakan dan tidak tenang. Masalah lama yang masih bergumpal di dalam jiwa dan tiada jalan kesudahan kerana hati itu masih sakit..hati itu masih menaruh harapan dan impian untuk membalik waktu silam...seringkali mengatakan penyesalan kerana tindakan semalam yang dirasakan tidak wajar dan tidak sepatutnya dilakukan. Menyesal yang tiada kesudahan. Menyalahkan orang lain dan rasa terbeban. Hati tidak dapat memaafkan sesiapapun...dalam diam individu ini berantakan dan tidak tenang...akhirnya dalam tidak sedar dia sedang menyimpan dendam. Lalu, dia merasakan tiada bahagia dalam kantung ceritera hidupnya.
Wahai Dunia Nan Berjiwa.. setiap manusia itu punya masalah dan setiap permasalahan pasti ada jalan keluarnya. Semua manusia itu dihadapkan dengan kesulitan sebelum kesenangan. Pergantungan penuh kepada tunjuk ajar tuhan adalah yang terbaik dan amat mendamaikan. Hadangi setiap kepayahan dengan rasa sabar dan ucaplah "lailahaillah". Dengan itu, kebahagiaan sebenarnya sedang membenih di jiwa kalian.
Definisi bahagia bagi setiap manusia pasti berbeda-beda. Hormatilah perasaan orang lain dan nilai hidup mereka. Setiap manusia dilahirkan untuk menjadi baik dan setiap kejadian itu tiada yang sia-sia. Sesungguhnya setiap manusia punya 1001 alasan yang positif untuk dirinya. Walaupun perbuatannya salah di sisi agama sekalipun, dia pastiya tidak mahu berbuat demikian tanpa alasan yang baik buat dirinya. Jangan mengherdik dirinya sepenuhnya...lebih baik kita berdoa agar dia temui jalan yang lebih bahagia. Sesungguhnya, dia tidak teruk tetapi tingkah lakunya sahaja yang teruk.
Justeru, semua orang sebenarnya sedang berbahagia dan membahagiakan orang lain andai dia sentiasa meletakkan dirinya sebagai hamba Tuhan yang serba kekurangan dan mahu mencari keberkatan dalam setiap tindak tanduknya. Semua orang juga akan lebih bahagia andai dia menghormati nilai hidup orang lain dan tidak menceroboh urusan orang lain tanpa diminta. Bantuilah orang lain bilamana dia hadir memohon bantuan daripada kalian. Permudahkan urusannya dan hormati maruah peribadinya. Tuhan jua akan memudahkan kalian dalam urusan dunia. InsyaAllah.
Untuk memiliki kebahagiaan yang berpanjangan, jadikan doa sebagai amalan dan bersangka baik dengan setiap ketentuan Tuhan. Teruslah hiburkan hati yang sedang berduka dengan berkata "semoga". Ertinya, kita sentiasa bersangka baik dengan kesulitan yang Tuhan hadapkan kepada kita. Kita tidak pernah berasa lelah dan berputus asa untuk meneruskan hidup dan melakar ceritera bahagia dari hari ke hari. Mohonlah doa untuk sentiasa dilindungi Tuhan dari ditimpa musibah dan malapetaka. Semoga Tuhan sentiasa membuka jalan dan mempermudahkan segala urusan manusia di dunia ini.
Seseungguhnya, Allah itu Maha Penyayang Lagi Maha Pengasih. Allahualam.
Comments
Post a Comment