REFLEKSI FIKIR TENTANG "MENANGIS"
The Tears of Painting by Elham (gambar dipetik dari Harian Metro 18112016) |
Saya tertarik untuk menulis tentang wanita dan kesedihan. Kesedihan yang dirundung segenap wanita apabila dia sedar dirinya terlalu kompleks untuk difahami dan dipuaskan. Sebetulnya, wanita turut memahami dirinya sendiri punya pelbagai karenah yang seringkali mahu dielakkan oleh segolongan lelaki. Lelaki kebiasaannya tidak mahu menghadangi perihal karenah wanita yang kompleks itu.
Lumrah semulajadi kehidupan wanita memerlukan lelaki. Begitu juga sebaliknya. Sesungguhnya ,wanita dan lelaki saling memerlukan. Walau dilihat sekental manapun seseorang wanita itu menjalani hidupnya sendirian tanpa adanya suami atau bertemankan lelaki; di sudut terporok dalam sanubarinya pasti turut mengeluh kesunyian tanpa teman yang bernama lelaki. Maka, untuk merealisasikan satu perjalanan hidup dengan daya bersama di antara wanita dan lelaki, ikatan perkahwinan sudah tentunya platform yang benar untuk menyatukan mereka, namun, bagi melancarkan segala urusan hidup itu pastinya ilmu toleransi diperlukan. Ego pula adalah cabaran. Namun, ini bukan perkara yang saya mahu kupaskan.
Berbalik kepada lukisan yang saya kepilkan ini, saya sukakannya. Lukisan wanita yang menangiskan air mata hitam ini, telah saya petik dari siaran rencana Harian Metro pada tanggal 18 November 2016. Lukisan ini adalah karya Saudara Elham, seorang pelajar Ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Seni Halus di Pusat Pengajian Seni USM. Dalam rencana tersebut ada dinyatakan bahawa karya Saudara Elham terhasil dari pengalamannya yang kerap menemui wanita yang bersedih terhadap sesuatu. Katanya, "kadangkala ada satu ketika kita kesunyian dan kita tidak dapat membantu seseorang atau berbuat sesuatu kepada seseorang bilamana ia diperlukan"
Saya memahami pernyataan ini dengan merasakan bahawa setiap insan punya kesedihan. Mungkin juga kesedihan itu adalah kerana dia sedang kesepian atau kesunyian. Benar juga. Jiwa yang terkongkong dan tidak dapat mengekspresikan emosi sebenar yang dikandungnya, pasti meronta untuk melepaskan perasaan itu dari terus menanggung sengsara. Logiknya, hal ini terjadi bilamana dia tiada teman untuk membicarakan dan berkongsi rasa kesedihannya; sudah tentunya dia sedang sendirian dan kesepian. Lalu, menangis sendirian mungkin seringkali membantu merawat kesedihan insan-insan kesepian ini. Menangis juga menjadi salah satu terapi kepada diri sendiri kerana tidak semua kawan, sahabat mahupun saudara dari darah daging sendiri mampu memahami diri kita seperti diri kita sendiri. Mereka juga tidak mampu memberikan jalan penyelesaian yang tepat. Sesungguhnya, diri sendiri sahaja yang akan lebih tahu keputusan yang mesti diambil kerana natijah kepada kata putus itu adalah perlu ditanggung sendirian berhad! Betul tak?
Kata Saudara Elham lagi,"Seni ini muncul bersama air mata yang datang dari dalam diri dan ia ibarat puisi dalam hidup yang menzahirkan kesepian".
Saya merasa dekat dengan pernyataan ini. Saya pula memilih untuk menulis kerana tiada jalan lain untuk saya lontarkan kekecewaan yang saya sedang tanggung. Dalam hal menulis puisi, saya fikir jika diadaptasikan kisah hidup seseorang dalam sekuntum puisi; ia pasti menimbulkan nuansa yang persis sama dalam kalangan pembacanya. Namun, penterjemahan makna dan penghayatan kepada subjek puisi itu tidak mustahil akan berbeza di antara seorang pembaca dengan penulis puisi itu sendiri. Juga, tidak mustahil roh yang dibawa ke dalam puisi itu oleh seorang deklamator juga menjadi berbeza dan sekaligus membawa audien merasai emosi yang berbeza atau sama. Begitu juga dengan hasil sebuah lukisan. Nilai estetika sebuah hasil seni sama ada dalam lukisan atau dari sekuntum puisi tentu-tentunya dinilai oleh khalayak yang tahu menikmati. Apa-apapun cabang ini bukan suatu yang sia-sia. Ia mampu menjadi terapi kepada kedua-dua pihak iaitu pelukis/penyair dan audien seni tersebut.
Hidup ini penuh dengan pilihan...ke arah bahagia atau sengsara? Hidup ini telah pun kita mulakan...pengakhiran yang bagaimana pula yang kita mahu temukan...Ini sahaja tujuan sebenar sebuah kehidupan. Maka, ciptalah momen yang membahagiakan walaupun kita tidak menerima setimpal yang kita harapkan. Percayalah, Allah berikan apa sahaja yang kita perlu dan bukan segalanya yang kita mahu.
~Dewi Ali
Menangis kepada-Nya adalah momen yang menenangkan. Dengan tenang akan ada bahagia. Melukis / Menulis puisi adalah usaha yang mahu merawat jiwa-jiwa yang sedang sengsara agar lukanya tidak kambuh semula. Karya seni yang terhasil pula mahu dijadikan ilham yang bermanfaat dan dapat dikongsi dengan empunya jiwa yang sama agar turut merasai sekelumit bahagia.
Hidup ini penuh dengan pilihan...ke arah bahagia atau sengsara? Hidup ini telah pun kita mulakan...pengakhiran yang bagaimana pula yang kita mahu temukan...Ini sahaja tujuan sebenar sebuah kehidupan. Maka, ciptalah momen yang membahagiakan walaupun kita tidak menerima setimpal yang kita harapkan. Percayalah, Allah berikan apa sahaja yang kita perlu dan bukan segalanya yang kita mahu.
~Dewi Ali
Comments
Post a Comment